Penantian itu satu penyiksaan. Bertahun lamanya saya menunggu untuk merialisasikan impian mendaki puncak ketiga tertinggi Negara, iaitu Gunung Tambuyukon yang terletak jauh di pedalaman Sabah. Impian itu akhirnya menjadi kenyataan apabila saya bersama tujuh rakan pendaki lain berjaya menyempurnakan ekspedisi selama empat hari menggapai puncak yang sering menjadi impian dan adakalanya igauan. Berikut adalah catatan pengalaman pahit manis kami menempuh laluan penuh cabaran puncak Tambuyukon yang beraltitud 8,642 kaki itu.
Hari Pertama: Keesokan paginya, kami bermula pada pukul 8.10 menempuh kawasan berhijaukan rumput Axonopus dan kemudiannya mendaki bukit mencanak. Selang beberapa minit kemudian, kami menghampiri papan tanda yang tertulis km 00.
Trek seterusnya yang kami tempuhi agak mudah. Kecuraman trek juga sederhana manakala landai di beberapa tempat. Laluan juga kering dan berdebu dek hujan telah sekian lama tidak turun. Papan tanda terpacak di setiap kilometer dan jarak yang perlu kami tempuhi hingga ke puncak adalah 14 kilometer. Kami kemudiannya berhenti rehat apabila tiba di kilometer empat. Rupa-rupanya, telah dua jam setengah kami berjalan dari bermula iaitu di Monggis Sub Station.
Kami kemudiannya menyambung perjalanan melalui laluan yang mula meningkat kecuramannya. Kami menyusuri tebing curam yang sempit dan berpatikelkan butiran tanah kering serta batu longgar. Kami mendaki dan menuruni dengan hati-hati takut jatuh tergelonsor. Kami juga melintasi anak-anak sungai yang mengalir jernih.
Kami terus berjalan bernaungkan pepohon tinggi menghijau yang mendominasi hutan Dipterokap. Saya berjalan sambil mengimbas lantai hutan. Seekor haiwan, seperti ulat gonggok besar merayap perlahan. Warna hitam dengan bintik merah di badan menarik perhatian. Rupa-rupanya flora yang disangka gonggok adalah kumbang trilobite tanpa kepak. Kumbang unik itu adalah Duliticola sp. dan hanya ditemui di Kepulauan Borneo.
Selang beberapa jam meninggalkan kilometer empat kami mula menuruni trek yang bertarah tanahnya ke sebuah tapak perkhemahan, iaitu Kem Wuluh. Kem itu diairi air terjun bertingkat rendah yang sejuk mata memandang. Jam di tangan menunjukkan ke pukul 1.00 tengahari ketika kami berhenti untuk berehat dan makan tengahari. Sanwic tuna bermayonis dengan minuman teh o panas jadi hidangan.
Sejam setengah kemudian, kami menyambung perjalanan melalui trek curam yang amat memenatkan. Kami memecah keringat hampir dua jam sebelum tiba di tapak perkhemahan yang kedua, iaitu Kem Kapuakan. Air terjun bertingkat rendahnya lebih besar dari Wuluh manakala kejernihan airnya yang bak kristal adalah setara. Memandangkan hari telah petang, iaitu kira-kira pukul 4.30, kami mengambil keputusan untuk bermalam di situ. Masih ada enam kilometer yang harus kami tempuh. Semoga esok masih ada bagi kami untuk meneruskan cabaran.
Hari Kedua: Kami bermula pada pukul 8.00 pagi dengan melompat dari batu ke batu yang lain ke seberang Sungai Kapuakan. 15 minit kemudian, kami menempuh kilometer lapan. Trek berikutnya, selepas dari itu amat curam dan ianya berlarutan hampir 45 minit. Nasib baik kecuramannya beransur-ansur menyusut. Kami terus mendaki dan menuruni laluan dan tiba di Kem Musang pada pukul 10.45 pagi.
Punca air terakhir sebelum ke puncak mengalir berhampiran Kem Musang. Tapak perkhemahan yang berkedudukan pada altitud 5,000 kaki itu sunyi sepi. Beberapa rakan dengan ditemani dua petunjuk jalan menuruni denai berhampiran. Mereka pulang dengan bekas-bekas berisi air bersih kira-kira setengah jam kemudian.
Lama juga kami duduk bersantai di situ sambil menikmati makan tengahari. Perjalanan berikutnya bersambung pada pukul 12.30 tengahari. Hutan dipterokap yang kami tempuhi sebelum ini mula diambil alih oleh hutan montane. Hutan yang sinonim dengan kepelbagaian spesis flora yang terhad, pepohon kayu rendang dan lumut hijau. Pokok orkid pelbagai spesis dengan bunga mekar pelbagai warna seperti kuning, coklat dan putih menyulam kehijauan.
Keadaan selepas meninggalkan Kem Musang jadi serba sukar. Kami terpaksa membongkok, meniarap dan melangkah akar serta dahan pokok yang menyuburi dan merentangi trek. Namun kesukaran itu terubat jua tatkala terpandang keunikan flora yang tumbuh di depan mata. Periuk kera seperti Nepenthes tentaculata yang kecil comel serta Nepenthes edwarsiana dengan struktur selinder pemerangkap serangga berwarna merah lembut dan berduri mencuri perhatian. Di kawasan yang serba asing dan terpencil, di kawasan yang masa seolah-olah terhenti, keadaan asalnya dikatakan tidak berubah sejak jutaan tahun.
Tiga jam selepas meninggalkan Kem Musang, kami tiba di Kem General. Suhu dingin tanah tinggi mula menggigit kebas apabila tubuh yang dibasahi keringat mengering. Kami seterusnya memasang tarpaulin dan menyediakan makan malam. Keheningan hutan kemudiannya dikejutkan oleh rintik-rintik hujan yang turun secara tiba-tiba. Kami kemudiannya menjamah juadah sebelum merebahkan badan yang keletihan untuk tidur sejam dua bagi menghadapi fasa terakhir pendakian ke puncak pagi esok.
Hari Ketiga: Pada pukul 2.30 pagi, kami sudah mula meninggalkan Kem General. Kami hanya menggalas pek kecil dan meninggalkan sebahagian besar peralatan dan makanan. Hanya lampu LED (Light Emitting Diode) di kepala menyinari laluan berliku dan licin yang kami tempuh. Suasana di sekitar begitu tenang, lembap dan dingin.
Pada pukul 3.15 pagi, apa yang saya cari selama ini terjumpa sudah. Hati begitu teruja apabila tersua dengan periok kera terbesar di dunia. Walaupun spesimen tersebut bukanlah yang terbesar yang menurut laporan mampu menampung sejumlah enam liter cecair, ia sudah cukup untuk memompa adrenalin.
Nepenthes rajah, begitulah nama yang diberikan kepada spesis periok kera terbesar di dunia yang tersenarai di bawah Apendiks 1 CITES (Convention on International Trade on Endangered Species). Di samping Nepenthes rajah, hanya Nepenthes khasiana tersenarai di bawah Apendiks 1 dan kedua-dua spesis botani unik ini diancam kepupusan. Nepenthes khasiana hanya boleh ditemui secara semulajadi di India.
Kami seterusnya tiba serta berhenti di Kem Rajah pada pukul 4.00 pagi dan menyambung saki-baki perjalanan yang ada sejurus itu. Seterusnya, kami tiba di objektif pengembaraan ini, iaitu puncak Gunung Tambuyukon pada pukul 4.50 pagi. Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya kami dapat menjejakkan kaki di puncak berketinggian 8,462 kaki itu setelah berhempas pulas selama dua hari.
Kegelapan awal pagi di puncak yang disinari rembulan mengambang penuh itu sungguh indah dan mengasyikkan. Pada pukul 6.00 pagi, ketika mentari merah menyinsing di ufuk Timur, kami dikejutkan dengan pemandangan yang sangat mengujakan. Nun tersergam indah, di celah-celah pepohon Leptospermum, tidak lain dan tidak bukan wajah bahagian Utara Gunung Kinabalu. Kinabalu, puncak tertinggi Negara yang tidak pernah mengerti erti jemu menggamit kedatangan pendaki. Di sebelah situ jugalah terletaknya Lembah Mekado dan Low’s Gully.
Kami menghayati anugerah istimewa ciptaan Ilahi di pagi hari baru yang meriah itu sambil menikmati bubur oat panas yang dimasak bersama bilis. Sukar rasanya untuk berpisah dengan keindahan dan ketenangan yang baru saja kami kecapi. Namun tidak mungkin kami berada di situ buat selamanya. Kami hanya pengembara yang singgah untuk menatap wajah alam yang indah.
Tepat pukul 7.50 pagi, kami mula meninggalkan kawasan puncak. Kini, di bawah cahaya mentahari yang mula memancar terik, segalanya menyerlah. Alam yang berbumbungkan langit biru dan berlantaikan bongkah-bongkah batu dengan jurang kiri kanan yang dalam. Batu-batu berwarna coklat cair tempat akar pepohon seperti Leptospermum berpaut longgar dan tempat kami mengatur langkah dengan hati-hati. Tidak puas-puas kami menikmati pemandangan dan merakamkan imej digital dan analognya.
Kami tiba di Kem General kira-kira tiga jam selepas meninggalkan puncak Tambuyukon. Keletihan membelenggu kami yang terduduk bermandikan keringat. Setelah berasa agak selesa, peralatan kami kemaskan dan sampah sarap kami bungkuskan untuk dibawa turun. Kami menggalas semula beg galas berat dan meneruskan perjalanan hingga ke Kem Musang. Kami tiba di situ pada pukul 1.20 tengahari.
Agak lama juga kami duduk bersantai sambil menikmati makan tengahari. Setelah sekian lama mendaki dan menuruni laluan sejak pukul 2.30 pagi, kami kembali dicengkam keletihan. Namun kami tidak berhasrat untuk bermalam di Kem Musang. Matlamat kami adalah Kem Kapuakan yang terletak kira-kira dua kilometer jauhnya. Kami kemudiannya mengemaskan peralatan, menggalas semula pek yang beratnya melebihi 15 kilogram dan meneruskan perjalanan pada pukul 2.30 petang.
Kami berjalan tanpa henti dengan keringat membasahi tubuh dan tiba di Kem Kapuakan dua jam kemudian. Perjalanan yang panjang pada hari ini kini tiba di penghujungnya. Kini, apa yang perlu kami lakukan hanyalah menikmati mandian sedingin salju aliran Sungai Kapuakan, menikmati hidangan makan malam dan seterusnya merebahkan tubuh yang keletihan. Semoga tidur kami diulit mimpi indah.
Hari Keempat: Hari ini keceriaan jelas terpancar di wajah masing-masing. Manakan tidak, kami dijangka akan menamatkan ekspedisi yang telah masuk hari keempat. Kami meninggalkan Kem Kepuakan pada pukul 10.00 pagi selepas mengemaskan peralatan dan bersarapan.
Perjalanan hari ini tidak kurang teruknya kerana kami masih terpaksa mendaki laluan mencanak. Selang beberapa minit barulah kami dapat menarik nafas lega apabila trek mula menurun. Kami seterusnya tiba di Kem Wuluh setelah menempuh perjalanan hampir sejam dari tempat bermalam di Kem Kapuakan. Kami berhenti seketika di situ untuk mengisi bekas-bekas air yang hampir kontang.
Perjalanan berikutnya disambung melalui trek yang sangat mencanak. Selepas beberapa ketika, kami mula menuruni laluan licin dan berdebu. Kami turut berhenti di pertengahan jalan untuk bergambar kenangan dan kemudiannya bergegas turun. Dek terlalu gopoh, ada di antara kami yang jatuh terlentang, tangkap biawak buat kata pendaki-pendaki.
Tepat pukul 2.45 petang, perjuangan kami di persada Tambuyukon menuju kemuncaknya. Kami tiba di Monggis Sub Station dan dengan tibanya kami di situ, tamat sudah satu pengembaraan yang penuh cabaran. Pengembaraan yang akan tetap dikenang di sepanjang zaman. Kenangan yang tidak mungkin luput dari ingatan. Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada Taman Sabah kerana menjadikan impian mendaki Tambuyukon satu kenyataan.





























