Tambuyukon ~ KOSMO 05 Dis 2007

Penantian itu satu penyiksaan. Bertahun lamanya saya menunggu untuk merialisasikan impian mendaki puncak ketiga tertinggi Negara, iaitu Gunung Tambuyukon yang terletak jauh di pedalaman Sabah. Impian itu akhirnya menjadi kenyataan apabila saya bersama tujuh rakan pendaki lain berjaya menyempurnakan ekspedisi selama empat hari menggapai puncak yang sering menjadi impian dan adakalanya igauan. Berikut adalah catatan pengalaman pahit manis kami menempuh laluan penuh cabaran puncak Tambuyukon yang beraltitud 8,642 kaki itu.

Hari Pertama: Keesokan paginya, kami bermula pada pukul 8.10 menempuh kawasan berhijaukan rumput Axonopus dan kemudiannya mendaki bukit mencanak. Selang beberapa minit kemudian, kami menghampiri papan tanda yang tertulis km 00.

Trek seterusnya yang kami tempuhi agak mudah. Kecuraman trek juga sederhana manakala landai di beberapa tempat. Laluan juga kering dan berdebu dek hujan telah sekian lama tidak turun. Papan tanda terpacak di setiap kilometer dan jarak yang perlu kami tempuhi hingga ke puncak adalah 14 kilometer. Kami kemudiannya berhenti rehat apabila tiba di kilometer empat. Rupa-rupanya, telah dua jam setengah kami berjalan dari bermula iaitu di Monggis Sub Station.

Kami kemudiannya menyambung perjalanan melalui laluan yang mula meningkat kecuramannya. Kami menyusuri tebing curam yang sempit dan berpatikelkan butiran tanah kering serta batu longgar. Kami mendaki dan menuruni dengan hati-hati takut jatuh tergelonsor. Kami juga melintasi anak-anak sungai yang mengalir jernih.

Kami terus berjalan bernaungkan pepohon tinggi menghijau yang mendominasi hutan Dipterokap. Saya berjalan sambil mengimbas lantai hutan. Seekor haiwan, seperti ulat gonggok besar merayap perlahan. Warna hitam dengan bintik merah di badan menarik perhatian. Rupa-rupanya flora yang disangka gonggok adalah kumbang trilobite tanpa kepak. Kumbang unik itu adalah Duliticola sp. dan hanya ditemui di Kepulauan Borneo.

Selang beberapa jam meninggalkan kilometer empat kami mula menuruni trek yang bertarah tanahnya ke sebuah tapak perkhemahan, iaitu Kem Wuluh. Kem itu diairi air terjun bertingkat rendah yang sejuk mata memandang. Jam di tangan menunjukkan ke pukul 1.00 tengahari ketika kami berhenti untuk berehat dan makan tengahari. Sanwic tuna bermayonis dengan minuman teh o panas jadi hidangan.

Sejam setengah kemudian, kami menyambung perjalanan melalui trek curam yang amat memenatkan. Kami memecah keringat hampir dua jam sebelum tiba di tapak perkhemahan yang kedua, iaitu Kem Kapuakan. Air terjun bertingkat rendahnya lebih besar dari Wuluh manakala kejernihan airnya yang bak kristal adalah setara. Memandangkan hari telah petang, iaitu kira-kira pukul 4.30, kami mengambil keputusan untuk bermalam di situ. Masih ada enam kilometer yang harus kami tempuh. Semoga esok masih ada bagi kami untuk meneruskan cabaran.

Hari Kedua: Kami bermula pada pukul 8.00 pagi dengan melompat dari batu ke batu yang lain ke seberang Sungai Kapuakan. 15 minit kemudian, kami menempuh kilometer lapan. Trek berikutnya, selepas dari itu amat curam dan ianya berlarutan hampir 45 minit. Nasib baik kecuramannya beransur-ansur menyusut. Kami terus mendaki dan menuruni laluan dan tiba di Kem Musang pada pukul 10.45 pagi.

Punca air terakhir sebelum ke puncak mengalir berhampiran Kem Musang. Tapak perkhemahan yang berkedudukan pada altitud 5,000 kaki itu sunyi sepi. Beberapa rakan dengan ditemani dua petunjuk jalan menuruni denai berhampiran. Mereka pulang dengan bekas-bekas berisi air bersih kira-kira setengah jam kemudian.

Lama juga kami duduk bersantai di situ sambil menikmati makan tengahari. Perjalanan berikutnya bersambung pada pukul 12.30 tengahari. Hutan dipterokap yang kami tempuhi sebelum ini mula diambil alih oleh hutan montane. Hutan yang sinonim dengan kepelbagaian spesis flora yang terhad, pepohon kayu rendang dan lumut hijau. Pokok orkid pelbagai spesis dengan bunga mekar pelbagai warna seperti kuning, coklat dan putih menyulam kehijauan.

Keadaan selepas meninggalkan Kem Musang jadi serba sukar. Kami terpaksa membongkok, meniarap dan melangkah akar serta dahan pokok yang menyuburi dan merentangi trek. Namun kesukaran itu terubat jua tatkala terpandang keunikan flora yang tumbuh di depan mata. Periuk kera seperti Nepenthes tentaculata yang kecil comel serta Nepenthes edwarsiana dengan struktur selinder pemerangkap serangga berwarna merah lembut dan berduri mencuri perhatian. Di kawasan yang serba asing dan terpencil, di kawasan yang masa seolah-olah terhenti, keadaan asalnya dikatakan tidak berubah sejak jutaan tahun.

Tiga jam selepas meninggalkan Kem Musang, kami tiba di Kem General. Suhu dingin tanah tinggi mula menggigit kebas apabila tubuh yang dibasahi keringat mengering. Kami seterusnya memasang tarpaulin dan menyediakan makan malam. Keheningan hutan kemudiannya dikejutkan oleh rintik-rintik hujan yang turun secara tiba-tiba. Kami kemudiannya menjamah juadah sebelum merebahkan badan yang keletihan untuk tidur sejam dua bagi menghadapi fasa terakhir pendakian ke puncak pagi esok.

Hari Ketiga: Pada pukul 2.30 pagi, kami sudah mula meninggalkan Kem General. Kami hanya menggalas pek kecil dan meninggalkan sebahagian besar peralatan dan makanan. Hanya lampu LED (Light Emitting Diode) di kepala menyinari laluan berliku dan licin yang kami tempuh. Suasana di sekitar begitu tenang, lembap dan dingin.

Pada pukul 3.15 pagi, apa yang saya cari selama ini terjumpa sudah. Hati begitu teruja apabila tersua dengan periok kera terbesar di dunia. Walaupun spesimen tersebut bukanlah yang terbesar yang menurut laporan mampu menampung sejumlah enam liter cecair, ia sudah cukup untuk memompa adrenalin.

Nepenthes rajah, begitulah nama yang diberikan kepada spesis periok kera terbesar di dunia yang tersenarai di bawah Apendiks 1 CITES (Convention on International Trade on Endangered Species). Di samping Nepenthes rajah, hanya Nepenthes khasiana tersenarai di bawah Apendiks 1 dan kedua-dua spesis botani unik ini diancam kepupusan. Nepenthes khasiana hanya boleh ditemui secara semulajadi di India.

Kami seterusnya tiba serta berhenti di Kem Rajah pada pukul 4.00 pagi dan menyambung saki-baki perjalanan yang ada sejurus itu. Seterusnya, kami tiba di objektif pengembaraan ini, iaitu puncak Gunung Tambuyukon pada pukul 4.50 pagi. Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya kami dapat menjejakkan kaki di puncak berketinggian 8,462 kaki itu setelah berhempas pulas selama dua hari.

Kegelapan awal pagi di puncak yang disinari rembulan mengambang penuh itu sungguh indah dan mengasyikkan. Pada pukul 6.00 pagi, ketika mentari merah menyinsing di ufuk Timur, kami dikejutkan dengan pemandangan yang sangat mengujakan. Nun tersergam indah, di celah-celah pepohon Leptospermum, tidak lain dan tidak bukan wajah bahagian Utara Gunung Kinabalu. Kinabalu, puncak tertinggi Negara yang tidak pernah mengerti erti jemu menggamit kedatangan pendaki. Di sebelah situ jugalah terletaknya Lembah Mekado dan Low’s Gully.

Kami menghayati anugerah istimewa ciptaan Ilahi di pagi hari baru yang meriah itu sambil menikmati bubur oat panas yang dimasak bersama bilis. Sukar rasanya untuk berpisah dengan keindahan dan ketenangan yang baru saja kami kecapi. Namun tidak mungkin kami berada di situ buat selamanya. Kami hanya pengembara yang singgah untuk menatap wajah alam yang indah.

Tepat pukul 7.50 pagi, kami mula meninggalkan kawasan puncak. Kini, di bawah cahaya mentahari yang mula memancar terik, segalanya menyerlah. Alam yang berbumbungkan langit biru dan berlantaikan bongkah-bongkah batu dengan jurang kiri kanan yang dalam. Batu-batu berwarna coklat cair tempat akar pepohon seperti Leptospermum berpaut longgar dan tempat kami mengatur langkah dengan hati-hati. Tidak puas-puas kami menikmati pemandangan dan merakamkan imej digital dan analognya.

Kami tiba di Kem General kira-kira tiga jam selepas meninggalkan puncak Tambuyukon. Keletihan membelenggu kami yang terduduk bermandikan keringat. Setelah berasa agak selesa, peralatan kami kemaskan dan sampah sarap kami bungkuskan untuk dibawa turun. Kami menggalas semula beg galas berat dan meneruskan perjalanan hingga ke Kem Musang. Kami tiba di situ pada pukul 1.20 tengahari.

Agak lama juga kami duduk bersantai sambil menikmati makan tengahari. Setelah sekian lama mendaki dan menuruni laluan sejak pukul 2.30 pagi, kami kembali dicengkam keletihan. Namun kami tidak berhasrat untuk bermalam di Kem Musang. Matlamat kami adalah Kem Kapuakan yang terletak kira-kira dua kilometer jauhnya. Kami kemudiannya mengemaskan peralatan, menggalas semula pek yang beratnya melebihi 15 kilogram dan meneruskan perjalanan pada pukul 2.30 petang.

Kami berjalan tanpa henti dengan keringat membasahi tubuh dan tiba di Kem Kapuakan dua jam kemudian. Perjalanan yang panjang pada hari ini kini tiba di penghujungnya. Kini, apa yang perlu kami lakukan hanyalah menikmati mandian sedingin salju aliran Sungai Kapuakan, menikmati hidangan makan malam dan seterusnya merebahkan tubuh yang keletihan. Semoga tidur kami diulit mimpi indah.

Hari Keempat: Hari ini keceriaan jelas terpancar di wajah masing-masing. Manakan tidak, kami dijangka akan menamatkan ekspedisi yang telah masuk hari keempat. Kami meninggalkan Kem Kepuakan pada pukul 10.00 pagi selepas mengemaskan peralatan dan bersarapan.

Perjalanan hari ini tidak kurang teruknya kerana kami masih terpaksa mendaki laluan mencanak. Selang beberapa minit barulah kami dapat menarik nafas lega apabila trek mula menurun. Kami seterusnya tiba di Kem Wuluh setelah menempuh perjalanan hampir sejam dari tempat bermalam di Kem Kapuakan. Kami berhenti seketika di situ untuk mengisi bekas-bekas air yang hampir kontang.

Perjalanan berikutnya disambung melalui trek yang sangat mencanak. Selepas beberapa ketika, kami mula menuruni laluan licin dan berdebu. Kami turut berhenti di pertengahan jalan untuk bergambar kenangan dan kemudiannya bergegas turun. Dek terlalu gopoh, ada di antara kami yang jatuh terlentang, tangkap biawak buat kata pendaki-pendaki.

Tepat pukul 2.45 petang, perjuangan kami di persada Tambuyukon menuju kemuncaknya. Kami tiba di Monggis Sub Station dan dengan tibanya kami di situ, tamat sudah satu pengembaraan yang penuh cabaran. Pengembaraan yang akan tetap dikenang di sepanjang zaman. Kenangan yang tidak mungkin luput dari ingatan. Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada Taman Sabah kerana menjadikan impian mendaki Tambuyukon satu kenyataan.

Dari Mesilau Ke Puncak Kinabalu (4,101 Meter) ~ KOSMO 26 Ogos 2006

Taman Kinabalu, dengan keluasan 754 kilometer persegi merupakan Tapak Warisan Dunia (World Heritage Site) pertama Negara. UNESCO (United Nations Educational & Cultural Organization), sebuah organisasi antarabangsa, telah menobatkan Kinabalu dengan taraf berpestrij tersebut pada Disember 2000.

Mercu tanda Taman Kinabalu adalah Gunung Kinabalu. Puncak berketinggian 4,101 meter itu adalah puncak paling tinggi di antara Banjaran Himalaya dan Kepulauan Irian Jaya. Puncak-puncak lain di Taman Kinabalu termasuklah Gunung Templer (1,133 meter) dan puncak ketiga tertinggi Negara, iaitu Gunung Tambuyukon (2,579 meter).

Gunung Kinabalu menerima lebih dari seratus pendaki setiap hari dari pelbagai latar-belakang sosio-budaya dan dari pelbagai Negara. Pendaki-pendaki masuk melalui dua laluan yang diwartakan, iaitu samada melalui Timpohon Gate di ibupejabat Taman Kinabalu atau Mesilau Nature Resorts.

Hari Pertama: Kami tiba di Mesilau Nature Resorts pada pukul 5.30 petang dengan van sewa dari ibupejabat Taman Kinabalu. Perjalanan sejauh 20 km itu mengambil masa kira-kira 45 minit menempuhi panorama indah pergunungan Kinabalu yang menghijau dan memukau pandangan.

Kami menginap di salah sebuah asrama yang mengandungi katil dua tingkat. Katil dua tingkat adalah sesuatu yang nostalgia buat saya kerana mengembalikan kenangan manis ketika menuntut di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan pada hujung 70an.

Cuaca dingin dengan hari yang mula remang-remang senja menyambut kedatangan kami yang seramai 14 orang. Keadaan sekeliling juga begitu hening, jauh dari hiruk-pikuk kesibukan kotaraya yang kerap meningkatkan tekanan perasaan. Kami menanti dengan debaran hari esok, hari untuk memulakan cabaran Gunung Kinabalu.

Hari Kedua: Pagi hari yang cukup sibuk. Pendaftaran, menjelaskan bil dan taklimat oleh malim gunung. Raut wajah rakan-rakan menampakkan pelbagai reaksi, ada yang kelihatan tenang dan tak kurang juga yang menzahirkan rasa kebimbangan. Maklumlah, ada yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke sebelah situ.

Tepat pukul 8.00 pagi, pengembaraan kami bermula. Cuaca cerah dengan hembusan bayu dingin pagi, elemen-elemen yang baik untuk memulakan hari baru. Kami perlahan-lahan mendaki laluan yang sedikit curam pada awalnya, sambil menikmati pemandangan indah hutan montane.

Kami kemudiannya berhenti berehat di Pondok Schima. Telah 45 minit kami berjalan. Pondok seperti Pondok Schima, yang dilengkapi bekalan air bersih dan tandas, dibina di sepanjang perjalanan ke puncak Gunung Kinabalu oleh pihak pengurusan Taman bagi kemudahan pendaki-pendaki.

Kami berhenti tidak lama, hanya sepuluh minit. Kami seterusnya menempuh tempat-tempat istirehat lain seperti Pondok Bambu dan Pondok Nepenthes. Kami juga menempuhi jambatan gantung (kipuyut) yang dibina merentangi hulu Sungai Mesilau. Airnya mengalir agak deras tetapi jernih dan kelihatan begitu menyegarkan.

Kami berhenti di atas jambatan untuk menikmati pemandangan indah yang terhampar di depan mata. Kami juga sibuk merakam gambar-gambar digital dan analog pemandangan indah tersebut, rakaman yang akan menjadi oleh-oleh untuk tatapan kami dan rakan-rakan lain setelah pulang nanti.

Kami selepas itu melewati pula tempat istirehat berikutnya, iaitu Pondok Tikalod. Telah 3.5 km perjalanan kami tempuhi dan jam di tangan telah menunjukkan ke pukul 11.40 pagi. Kami tiba di kawasan permatang yang tidak kalah juga pemandangan indahnya dan kadang-kala kabus putih menyelimuti pandangan.

Pondok Lompoyou dan akhir sekali Pondok Magnolia kami tempuhi sebelum tiba di persimpangan laluan Timpohon Gate, laluan utama pendaki-pendaki Gunung Kinabalu. Telah pukul 1.05 tengahari dan kami telah tiba di km 4. Maknanya masih ada 2 km yang harus kami tempuh untuk menamatkan pendakian di hari pertama.

Pokok-pokok kayu yang tumbuh di kiri dan kanan laluan kelihatan terbantut dan mempunyai bentuk yang sungguh unik. Angin kencang dengan tanah yang kurang subur menyumbang kepada fenomena tersebut. Pokok-pokok tersebut mungkin kerdil, tetapi sesetengahnya telah berusia ratusan tahun, satu fakta aneh tetapi benar.

Pokok-pokok berkayu tersebut termasuklah Leptospermum flavescens dan Schima. Bunga-bunga Rhododendron dengan warna merah terang dan merah jambu menambah warna kepada landskap natural yang tiada tolok bandingnya, keindahan tidak dapat dinikmati di kawasan pergunungan lain yang pernah saya tempuhi.

Tepat pukul 2.15 petang, saya berhenti berehat di Pondok Villosa. Pondok tersebut berdiri pada paras 2,960.8 meter, atau hampir-hampir menyamai 10,000 kaki. Ada ketikanya hujan renyai membasahi bumi. Badan lembap dengan suhu tanah tinggi rendah merupakan gabungan yang menyebabkan saya menggigil kesejukan.

Tumbuhan parisitik periok kera seperti Nepenthes villosa, N. burbidgeae dan N. rajah dikatakan endemik kepada Taman Kinabalu. Namun, hanya Nepenthes villosa dan N. paniculata mudah dilihat di sebelah situ. N. villosa, dengan warna merah garang dengan saiz yang agar besar, menjadi daya tarikan kepada pendaki-pendaki Kinabalu.

Namun, apa yang dikesalkan adalah, Nepenthes lowii, salah satu spesis endemik Kinabalu kini tidak lagi dapat dilihat. Spesis unik yang agak mudah dijumpai di pergunungan Trusmadi, mungkin telah pupus di sebelah Kinabalu. Hibrid semulajadi Nepenthes lowii dengan N. edwardsiana menghasilkan Nepenthes x trusmadiensis.

Saya seterusnya menyambung pendakian dan tiba di rumah rehat Laban Rata tepat pukul 4.00 petang. Ada juga rakan-rakan yang tiba 30 minit lebih awal manakala rakan yang akhir tiba pukul 5.00 petang. Tiba masanya untuk berehat sambil menikmati makanan dan minuman panas dari dapur rumah rehat.

Bau makanan dan minuman menyebabkan kami tidak keruan. Aroma kopi panas, bihun goreng panas, dan sup panas, sungguh membuka selera. Badan letih setelah sehari suntuk mendaki ditambah dengan suhu sejuk, sudah tentu menjadikan perut minta diisi dan tekak minta diairi.

Keadaan restoran tidak pernah sunyi dari kunjungan pendaki-pendaki. Di situ, kami mungkin terpisah oleh kepelbagaian etnik dan warna kulit. Namun, matlamat kami hanya satu. Matlamat untuk menjejakkan kaki ke Puncak Low, puncak paling tinggi di pergunungan Kinabalu di paras 4,101 meter.

Kami seterusnya beransur-ansur mendaki ke tempat bermalam di Gunting Lagadan yang terletak kira-kira 100 meter di sebelah atas rumah rehat Laban Rata. Tempat bermalamnya begitu asas, hanya bilik sempit dengan 2 unit katil 2 tingkat. Namun sudah cukup bagi kami merehatkan badan yang letih mendaki sepanjang hari.

Hari Ketiga: Pukul 2.00 pagi keesokan harinya, kami sudah bangun dan bersiap-siap untuk menghadapi cabaran menjejaki laluan ke puncak Gunung Kinabalu. Hanya tinggal 2.7 km yang harus ditempuh untuk menempa kejayaan. 30 minit kemudian, pintu pagar dibuka dan seorang demi seorang mula mendaki tangga-tangga kayu.

Keadaan masih gelap dengan udara awal pagi yang begitu dingin. Bintang-bintang di langit berkerlipan ditemani bulan yang mengambang. Kami berpakaian tebal dengan penutup kepala dan sarung tangan tebal. Cahaya lampu suluh di kepala menyinari laluan yang kami tempuh.

Lama-kelamaan tiada lagi kelihatan anak-anak tangga kayu. Kami berhadapan pula dengan tebing berbatu selepas melewati km 6.5. Tali yang terpasang membantu kami mendaki dan tepat pukul 3.15 pagi, kami tiba di check-point di Sayat-Sayat. Petugas mencatat maklumat yang tertera pada teg nama yang tergantung di leher kami.

Sayat-Sayat terletak pada paras melebihi 3,000 meter (10,000 kaki). Di paras itu, adalah sukar untuk berjalan pantas dengan selesa kerana ketepuan oksijen atmosfera menjunam sebanyak 30%. Manakala di puncak Everest, dengan ketinggian 8,848 meter (melebihi 29,000 kaki), ketepuan oksijen hanya tinggal 30%!

Pendakian yang seterusnya menyaksikan kami terpaksa mengatur langkah, berjalan beberapa langkah, kemudian berhenti mengambil nafas. Begitulah seterusnya, sehinggalah kami tiba di puncak Gunung Kinabalu, tepat pukul 5.45 pagi ketika kaki langit di ufuk Timur mula memancarkan sinaran cahaya merah-kuningnya.

Ramai pendaki yang tiba lebih awal dan masing-masing cuba mendapatkan posisi paling strategik bagi menyaksikan dan merakamkan gambar matahari terbit pagi. Saya pernah berjaya merakamkan imej tersebut melalui kamera digital SLR 6.0 megapiksel, satu pemandangan indah yang tidak dapat saya lupakan hingga kini.

Puncak Low yang berketinggian 4,101 meter, puncak tertinggi pergunungan Kinabalu, sememangnya sempit. Kami terpaksa bergilir-gilir mengambil gambar bersama-sama dengan dua plet logam penanda puncak. Pendaki-pendaki kemudiannya beransur-ansur turun untuk memberi ruang kepada mereka yang baru tiba.

Kehebatan dan keindahan pemandangan dari puncak Kinabalu adalah sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Pada hemat saya, puncak Gunung Kinabalu adalah puncak gunung terindah di Malaysia. Hanya gambar-gambar yang dirakam mampu melahirkan pandangan hebat tersebut.

Tepat pukul 7.00 pagi, saya dan beberapa rakan mula meninggalkan puncak. Matahari telah terbit kira-kira sejam yang lalu. Hari telah cerah dan perjalanan turun yang perlu kami tempuh masih jauh dan memenatkan. Kami sempat mengambil gambar kenangan ketika menuruni tebing curam ke tempat penginapan di Gunting Lagadan

Kami seterusnya mengemaskan pakaian dan peralatan sejurus tiba di tempat penginapan. Kemudian kami singgah di rumah rehat di Laban Rata untuk menghadapi hidangan sarapan pagi. Pukul 10.50 pagi, saya, Rafiee dan Zu, meninggalkan Laban Rata untuk menempuh perjalanan berikutnya yang sejauh 6 km ke Timpohon Gate

Kami bertemu dengan ramai pendaki dari pelbagai bangsa. Sebelum itu, saya sempat berbual dengan seorang warga emas dari Jepun. Beliau menyatakan bahawa usia beliau telah mencecah 67 tahun. Apa yang mengagumkan, walaupun di lewat usia, beliau mampu naik dan turun Gunung Kinabalu dengan jayanya.

Saya terjumpa dengan hidupan yang merujakan, iaitu Cacing Tanah Gergasi Kinabalu. Itulah pertama kali saya berpeluang menyaksikan Anelida dengan dimensi melebihi sekaki atau 30 sm itu setelah sering mendaki dan menuruni laluan puncak Gunung Kinabalu yang penuh dengan liku-lliku.

Laluan yang kami tempuhi, samada di sebelah Mesilau maupun di sebelah Timpohon ditanda di setiap 0.5 km. Pondok-pondok istirehat juga dibina di sepanjang laluan dari Timpohon Gate hinggalah ke Kabin Sayat-Sayat. Pondok-pondok tersebut termasuklah Kandis, Mempening, Lowii, Paka dan Villosa.

Pemandangan di sebelah Timpohon Gate tidak kurang hebatnya dan laluan ini menjadi pilihan majoriti pendaki. Semasa kami mendaki melalui Mesilau, tidak sampai 20 orang berbuat demikian. Manakala di sebelah Timpohon Gate pula, angkanya mencecah melebehi seratus orang.

Kami berhenti berehat di beberapa pondok tersebut kerana menuruni laluan curam tetap meletihkan dan menyakitkan lulut. Kami juga tersua dengan porter yang mengambil upah membawa beg-beg pendaki, makanan mentah dan tong gas memasak untuk kegunaan rumah rehat di Laban Rata.

Tepat pukul 1.20 minit tengahari, kami selamat tiba di Timpohon Gate. Tamat sudah satu perjuangan dan impian untuk naik dan turun puncak tertinggi yang menjadi kebanggaan semua. Kami melewati check-point terakhir, maklumat dicatat petugas Taman Kinabalu sebagai bukti kejayaan.

Pukul 2.00 petang, kami berkumpul di ibupejabat Taman Kinabalu. Masing-masing gembira dengan sijil berwarna-warni, bukan satu tetapi dua keping. Satu untuk kejayaan menakluk Kinabalu dan satu lagi kerana mendaki melalui Mesilau. Kami kemudiannya bertolak ke Kota Kinabalu dengan senyuman kepuasan tanda kejayaan.

Kinabalu tidak pernah sunyi dari kunjungan pendaki dan mungkin kami akan datang lagi. Telah saban tahun saya mengulangi, menjejaki laluan ke puncak yang menjadi mercu tanda Taman Kinabalu. Taman Kinabalu, khazanah alam yang harus dipulihara untuk generasi akan datang.

Trusmadi, Puncak Kedua Tertinggi (2,642 Meter) ~ KOSMO 23 Sept 2006

Gunung Trusmadi mungkin tidak dikenali ramai jika dibandingkan dengan Gunung Kinabalu. Trusmadi dengan ketinggian 2,642 meter merupakan puncak kedua tertinggi bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Malaysia. Puncak ketiga tertinggi di Negara ini juga berdiri megah di Sabah, iaitu Gunung Tambuyukon yang berketinggian 2,579 meter dari aras laut.

Kawasan pergunungan Trusmadi terletak di antara dua daerah, iaitu Tambunan di sebelah utara dan Keningau di sebelah selatan. Gunung Trusmadi juga terletak di bahagian timur Banjaran Crocker, banjaran utama di Sabah. Perjalanan sejauh 80 kilometer dari Kota Kinabalu, ibunegeri Sabah ke pekan kecil Tambunan mengambil masa kira-kira sejam setengah.

Kami tiba di Tambunan ketika menghampiri tengah malam. Kami menginap di sebuah chalet di Tambunan Village Resort Center berhampiran Sungai Pegalan. Chalet tempat kami menginap unik dengan bahan binaan utamanya adalah buluh. Kami berasa sungguh letih selepas melalui perjalanan yang cukup panjang yang jauhnya ribuan kilometer dari tanah besar semenanjung.

Keesokan harinya, kami meninggalkan chalet pada pukul 8.30 pagi. Kami kemudiannya singgah di sebuah kedai kopi di pekan Tambunan untuk sarapan pagi sebelum meneruskan perjalanan. Kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki seterusnya meninggalkan jalan berturap. Debu berkepul-kepul berterbangan ketika kenderaan yang kami tumpangi meluncur laju melalui jalan balak yang kering kontang.

Kenderaan kami kemudiannya berhenti selepas sejam setengah meninggalkan pekan Tambunan. Seorang pemuda berketurunan Kadazan-Dusun sedia menanti. Beliau adalah jurupandu jalan kami. Kami kemudiannya bersalam-salaman dan berkenalan di antara satu sama lain. Jurupandu jalan kami juga bekerja secara sambilan membawa pendaki ke puncak Gunung Kinabalu.

Menurut catatan pendaki awal, iaitu pada tahun 1990, pendaki-pendaki mengambil masa kira-kira tiga hari untuk ke puncak Gunung Trusamadi. Kami pula dijangka akan tiba selewat-lewatnya pagi esok! Segala-galanya jadi mudah dengan terbinanya jalan balak dan penggunaan kenderaan pacuan empat roda yang disediakan oleh pihak pengurusan Tambunan Village Resort Center.

Perjalanan kami pada peringkat awal adalah melalui saki-baki jalan balak yang tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderan. Kira-kira sejam kemudian, kami tiba di jeram yang airnya mengalir cukup jernih dan dingin. Kami berhenti untuk berehat dan mengambil air bersih untuk kegunaan di sepanjang pendakian. Menurut jurupandu jalan, selepas jeram tersebut, tiada lagi punca air bersih yang boleh kami temui.

Kami seterusnya menyambung perjalanan melalui jalan balak dan selepas beberapa minit kemudian kami tiba di pinggir hutan montane. Perjalanan kami yang berikutnya adalah melalui denai hutan tersebut yang beraltitud melebehi 1,000 meter dari aras laut. Kawasan hutan di sekitar pergunungan Trusmadi telah diwartakan sebagai hutan simpan komersil sejak 1984.

Hutan montane dizonkan mengikut altitud. Montane paras bawah beraltitud 1,000 m hingga 1,700 m yang didominasi spesis oak seperti Quercus dan spesis Dipterocarpaceae. Montane paras atas yang beraltitud 1,700m hingga 2,200m banyak ditumbuhi konifer podokap. Seterusnya di paras 2,200m hingga 2,642m, tumbuhan kerdil seperti Tristania, Leptrospermum dan Dacrydium mudah kelihatan.

Berjalan kaki di kawasan bercerun curam dengan menggalas beg besar dengan muatan maksima 75 liter dengan berat menghampiri 20 kilogram sememangnya meletihkan. Namun azam untuk menakluki puncak mendorong kami untuk meneruskan pendakian walaupun kami terpaksa bersusah payah berjalan tercungap-cungap. Namun bagaimana sukar sekali pun, perjuangan harus diteruskan.

Setelah berhempas pulas untuk berjam lamanya, tepat pukul 4.40 petang saya dan Aznal tiba di destinasi berikutnya, iaitu sebuah tapak perkhemahan yang dipanggil `Taman Bunga`. Hairan juga kami berdua mengapa tempat tersebut diberi nama sedemukian rupa. Yang kelihatan hanyalah sejambak bunga Rhododendron berwarna kemerahan.

Pada Mac 1983, dunia sains botani dikejutkan dengan penemuan spesis baru tumbuhan yang bukannya dari tumbuhan berbunga tetapi periok kera. Seorang ahli botani warga Jerman, Johannes Marabini, menemui spesis tersebut di pergunungan Trusmadi dan menamakannya Nepenthes x trusmadiensis. Spesis baru tersebut adalah hybrid semulajadi di antara Nepenthes edwardsiana dan Nepenthes lowii.

Rakan-rakan lain termasuk jurupandu jalan selamat tiba di tapak perkhemahan kira-kira setengah jam kemudian. Memandangkan hari hampir gelap, kami mengambil keputusan untuk bermalam di Taman Bunga dan menyambung perjalanan ke puncak awal pagi berikutnya, mungkin seawal pukul 3.00 pagi ketika pendaki-pendaki memulakan pendakian dari tempat bermalam ke puncak Trusmadi.

Makan malam kami adalah nasi beriani berlaukkan serunding daging, telor dadar dan sambal kacang, terasa begitu menyelerakan. Kami berempat hanya tidur berbumbungkan tarpaulin manakala seorang rakan dan jurupandu jalan tidur di dalam khemah. Suasana malam di Taman Bunga sungguh hening dan cantik disinari cahaya bulan mengambang.

Tepat pukul 3.00 pagi keesokan harinya kami bingkas bangun dan sama-sama menyediakan juadah ala-kadar bagi mengalas perut. Fasa terakhir pendakian dijangka berlarutan sehingga 2 jam. Keadaan di sekitar tapak perkhemahan sungguh tenang, langit dipenuhi bintang dan udara begitu sejuk sekali. Kami juga dapat melihat sayup-sayup cahaya dari bangunan kabin di Panar Laban.

Tepat pukul 3.40 pagi, kami mengorak langkah untuk mencapai impian menjejakkan kami ke puncak kedua tertinggi Negara. Saya dan Aznal mendahului rakan-rakan menyusuri denai hutan yang disimbahi cahaya lampu suluh dan cahaya suram bulan awal pagi. Kami kemudiannya berhenti berehat setelah berjalan selama satu jam.

Saya dan Aznal seterusnya menyambung perjalanan. Kami tiba di puncak Gunung Trusmadi tepat pukul 5.35 pagi ketika langit mula cerah. Tiga rakan lain dan jurupandu jalan tiba setengah jam kemudian. Kami bersalam-salaman dan mengucapkan tahniah sesama kami. Kami berasa sungguh gembira kerana dapat mejejakkan kaki di puncak yang berketinggian 2,642m buat kali pertama.

Puncak Gunung Kinabalu kelihatan sayup-sayup 40 km ke utara, satu pemandangan indah yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Baru 2 minggu lepas saya bersama 13 rakan lain menjejakkan kaki ke puncak tertinggi Negara itu. Menurut jurupandu jalan, kami bernasib baik dapat melihat puncak Gunung Kinabalu yang biasanya diselimuti kabus tebal yang menghalang pandangan.

Kesejukan yang mencengkam tubuh memaksa kami bergegas turun meninggalkan puncak Gunung Trusmadi selepas bergambar kenangan. Menuruni cerun curam mungkin tidak memerlukan tenaga yang banyak jika dibandingkan dengan mendaki tetapi risiko kecederaan adalah tinggi. Kecederaan serius ke atas lutut dan buku lali boleh berlaku jika jatuh tergelincir.

Kami tiba di tapak perkhemahan pada pukul 8.00 pagi dan disebabkan kelaparan saya memasak mee segera. Kami makan bersama-sama dan adalah menjadi lumrah bagi pendaki berkongsi makanan dalam bekas yang sama. Kami kemudiannya mengemaskan peralatan dan membersihkan tapak perkhemahan untuk kegunaan pendaki-pendaki lain.

Kami meninggalkan Taman Bunga pada pukul 9.00 pagi. Ada ketikanya saya berhenti di pertengahan jalan untuk merakam gambar periok kera yang banyak tumbuh di kiri dan kanan laluan yang kami turuni. Spesies periok kera di kawasan tersebut tumbuh cantik dengan pelbagai rupa, bentuk dan warna, dan, sememangnya menjadi bahan foto yang menarik.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.